Sekolah Kebangsaan Pos Dipang telah ditubuhkan pada tahun 1962. Nama sekolah ini diambil sempena nama sungai yang dikenali sebagai Sungai Dipang. Pada masa itu, ianya dikenali sebagai Sekolah Murid-Murid Dewasa iaitu di bawah pentadbiran JHEOA ( Jabatan hal Ehwal Orang Asli).
Sekolah Kebangsaan Pos Dipang ini terletak di pintu masuk perkampungan Orang Asli Kampung Pos Dipang. Jaraknya lebih kurang 4 kilometer dari Kampung Sahom. Kenderaan yang paling sesuai untuk sampai ke sekolah ini pada masa itu ialah motosikal sahaja kerana jalanraya yang tidak berturap dan kurang memuaskan.
Pada awal tahun 1987, sekolah ini telah membuat permohonan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak untuk meminjam guru dari Sekolah Kebangsaan Sahom untuk ditugaskan mengajar di sekolah ini. Mulai tahun 1987, dua orang guru telah ditugaskan untuk mengajar di sekolah ini yang mana mereka berkhidmat selama setahun secara bergilir-gilir.
Pada 1 Januari 1993, sekolah ini telah diambil alih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang mana seorang guru besar telah dilantik. Beliau ialah En. Eri @ Daheri Bin Yahaya. Selain daripada beliau, ada seorang guru terlatih iaitu En. Mohd Mazalan Bin Mohd Nor yang baru bertukar dari Cameron Highland, Pahang Darul Makmur. Pada mulanya guru ini telah ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Sahom dan beliau telah diarahkan pula mengajar di sekolah ini mulai 1 Disember 1992 sehingga 1993.
Pada bulan Februari 1993, seorang guru GSTT telah dilantik dan pada bulan April 1993, seorang pekerja am ditugaskan untuk menjaga kebersihan persekitaran sekolah ini. Di bawah pentadbiran guru besar baru iaitu En. Eri @ Daheri Bin Yahaya, sekolah ini mempunyai seramai 30 orang murid. Semasa itu, cuma murid tahap satu sahaja belajar di sekolah ini manakala tahap dua dihantar ke Sekolah Kebangsaan sahom. Memandangkan ramainya di kalangan murid yang buta huruf, sekolah ini banyak menekankan kepada 3M.
Pada awal tahun 1994, kemudahan bekalan elektrik telah dinikmati oleh penduduk kampung Pos Dipang. Sekolah ini masih menggunakan janakuasa kerana sekolah ini menumpang Bangunan Serbaguna di bawah JPM ( Jabatan Perdana Menteri). Memandangkan sekolah ini telah dirobohkan untuk didirikan dengan bangunan baru, kami terpaksa menumpang di Bangunan Serbaguna ini untuk menempatkan seramai 94 orang murid pada daftar 1 Disember 1994. Muridnya terdiri dari tahun satu hingga tahun enam. Pada tahun 1994/1995 inilah bermulanya murid-murid sekolah ini mengambil peperiksaan UPSR iaitu seramai 10 orang murid sahaja. Pada sesi persekolahan 1994/1995 ini, seramai 7 orang guru terlatih telah bertugas di sekolah ini termasuklah guru besar dan pekerja am.
Pada 29 November 1994, bangunan sekolah ini telah dirobohkan dan telah diganti dengan bangunan baru di mana bangunan ini mempunyai 3 buah bilik darjah, bilik guru, bilik guru besar dan tandas murid. Bangunan ini telah siap dibina pada bulan Mei hingga Jun 1995.
Pada masa itu, kelas bercantum telah dijalankan kerana kekurangan bilik darjah. Sesi persekolahan bermula pada pukul 7.45 pagi hingga pukul 1.05 petang.
Pada masa kini, pengangkutan yang digunakan untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan Pos Dipang adalah motosikal dan kereta. Ini kerana jalanraya yang dahulu tidak berturap, kini telah digantikan dengan jalanraya berturap. Ini menunjukkan terdapat kemajuan dan perubahan yang dilakukan pada perkampungan Orang Asli Pos Dipang.
Kini Sekolah kebangsaan Pos Dipang telah dibangunkan semula dengan baik. Bangunan yang dibina pada tahun 1994 telah digantikan bangunan baru iaitu bangunan 2 tingkat dan siap dibina pada tahun 2001. Bangunan baru ini digunakan sepenuhnya pada sesi persekolahan 2002. Bangunan ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti bilik guru, kantin sekolah, stor sukan, dataran perhimpunan, bilik darjah, tandas guru dan tandas murid, bilik SPBT, bilik muzik yang kini digunakan sebagai bilik Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris, padang sekolah, pusat sumber dan sebagainya.
Sekolah Kebangsaan Pos Dipang tidak lagi menggunakan janakuasa seperti dahulu kerana kemudahan bekalan elektrik telah digunakan sepenuhnya.
Pentadbir Sekolah Kebangsaan Pos Dipang sekarang adalah En Zul Safaruddin Bin Mat yang menggantikan En. Samsudin Bin Saad yang telah bertukar ke Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan.En Zul Safaruddin Bin Mat mula bertugas sebagai Guru Besar bermula pada 16 November 2007.Sekolah ini juga mempunyai 10 orang tenaga pengajar tidak termasuk guru besar. Manakala terdapat seorang Pegawai Tadbir Rendah, seorang Pembantu Am, seorang PRA dan seorang PRA sambilan.
Pada tahun ini, Sekolah Kebangsaan Pos Dipang mempunyai seramai 69 orang murid.Kelas bercantum tidak lagi diamalkan kerana kelas adalah mencukupi untuk menempatkan murid-murid secara berasingan mengikut tahun masing-masing. Ini juga bertepatan dengan arahan terkini Kementerian Pelajaran yang mahukan setiap tahun itu mempunyai kelas yang berasingan.Arahan ini adalah terpakai bagi kesemua jenis sekolah.
Sesi persekolahan bermula pada pukul 7.50 pagi dan berakhir pada pukul 1.10 petang pada hari Isnin hingga Khamis. Manakala pada hari Jumaat pula kelas bermula pada pukul 7.50 dan berakhir pada pukul 12.10 tengah hari.